NAMA aktor dan model, Lee Kwang Soo di industri seni Korea Selatan, tidaklah begitu gah untuk dibariskan dengan pelakon-pelakon lain.
Malah, ketika dia mula menyertai barisan artis dalam program Running Man yang juga rancangan pertama berbentuk keragaman (variety) yang disertainya, tiada jangkaan tinggi yang disandarkan kepadanya.
Namun, pelakon yang memulakan kariernya dalam industri seni sekitar
tahun 2008 itu dari sehari ke sehari mula menunjukkan perwatakan lucunya
dalam program bersiri itu.
Tanpa disangka-sangka, kehadirannya dalam program itu berjaya
menaikkan namanya sehingga dia dikenali bukan sahaja di tanah airnya,
tetapi juga di seluruh dunia.
Sikap lurus bendul, pengkhianat dan aksi lucu menerusi perwatakannya
dalam Running Man berjaya menambat hati peminat di seluruh dunia
sehingga gelaran Putera Asia (Prince Of Asia) diberi oleh peminat
fanatiknya.
Baru-baru ini, Kwang Soo telah meluangkan masanya untuk bersama
peminat dan seperti yang dijangka, kehadiran peminat sungguh luar biasa.
Sesi pertemuan bersama peminat yang dibawakan oleh Faith & D
Entertainment, King Kong Entertainment dan JS Concert Productions yang
bermula sekitar pukul 6.30 petang turut menyaksikan linangan air mata
jejaka tinggi lampai itu yang terharu dengan sokongan peminatnya di
sini.
Ketika sesi di akhir acara itu, Kwang Soo telah dipertontonkan dengan
klip video yang ditujukan buatnya oleh kelab peminatnya di sini.
Satu persatu gambarnya disingkap sejak dari kecil sehinggalah dia
menjengah ke alam dewasa. Malah, lakonan pertamanya dan aksinya dalam
rancangan variety turut dikompilasikan ke dalam klip itu.
Kwang Soo yang ketika itu berada di tepi pentas melihat klip tersebut
jelas hiba dan terharu dengan usaha dan sambutan yang diberikan oleh
peminatnya di sini.
Selesai klip tersebut, mata Kwang Soo nampak bergenang dan dia tak
putus-putus mengucapkan terima kasih, selain terkejut dengan sambutan
yang dilakukan oleh peminatnya.
Saya tidak menjangka bahawa sambutan daripada anda semua sehebat ini
dan ia benar-benar buat saya terharu. Semua perkara tentang saya
diketahui oleh peminat dan saya begitu menghargainya. Saya sudah tidak sabar untuk pulang ke negara asal saya dan beritahu
rakan-rakan dalam program Running Man tentang sambutan peminat di
Malaysia.
Untuk semua peminat, saya akan berusaha lebih keras dan terus
meningkatkan mutu lakonan dengan membawa pelbagai lagi watak lain yang
mencabar.
Semua usaha yang saya lakukan adalah kerana anda semua. Teruskan
sokongan anda kepada saya dan program Running Man," katanya dalam
keadaan sebak sebelum memberi tunduk hormat (sujud) kepada semua
peminatnya.
Jejaka Pemalu
Beraksi di hadapan kira-kira 3,000 penonton yang hadir, Kwang Soo
menampakkan sisi dirinya yang berlainan berbanding dalam program Running
Man.
Malah, ketika berada di atas pentas kira-kira satu jam setengah, Kwang Soo nampak seperti seorang yang pendiam dan malu.
Pada mulanya, penulis agak sangsi untuk melihat apa yang boleh
dilakukan oleh Kwang Soo terhadap peminatnya di atas pentas, apatah lagi
dia bukanlah seorang penyanyi.
Namun, Kwang Soo tetap berjaya menghiburkan peminatnya. Malah ramai
yang tertawa dengan aksi lucu spontan yang telah ditunjukkan olehnya.
Sepanjang pertemuan itu, sebanyak tiga permainan telah diatur untuk peminat yang bertuah bersama dengannya di atas pentas.
Ternyata, aksi-aksinya di atas pentas berjaya mencuit hati dan
mengundang hilai tawa semua peminat-peminatnya yang hadir. Malah, sempat
juga Kwang Soo mempamerkan aksi tarian robotnya yang selalu
dilakukannya dalam program Running Man.
Selain itu, Kwang Soo turut mempersembahkan tiga buah lagu yang
berjudul Hug, Because I Love You dan I Believe. Biarpun dia bukanlah
seorang penyanyi, tetapi dendangannya itu pasti membawa kenangan indah
kepada peminatnya.
Satu yang sempat diperhatikan tentang Kwang Soo ialah dia begitu menghargai peminat-peminatnya. Malah, ketika peminatnya berada di atas pentas, dia tidak menunggu
peminatnya menghulurkan tangan kepadanya, sebaliknya dia yang berjalan
untuk menyambut dan bersalam dengan peminatnya. Malah, ketika di akhir persembahan, Kwang Soo telah turun dari pentas untuk bersama dan bersalam dengan peminatnya.
Dia juga nampak seperti mahu bertemu dengan peminatnya yang berada di
belakang, namun dihalang atas faktor-faktor keselamatan, ditambah pula
para peminatnya pantas berkerumun di sekelilingnya.
Sumber: MStar Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan