Ahad, 12 Januari 2014

Didik Jiwa Elak Boros

elak boros

Kebelakangan ini, isu kenaikan harga barang menjadi bualan ramai pihak. Namun, kenaikan harga barang masih tidak memberi kesan terhadap sikap berjimat cermat dan bersederhana (wasatiyyah) dalam berbelanja.

Walaupun harga barang dinaikkan, cara perbelanjaan dan penggunaan masyarakat kita masih tidak berubah. Jika berubah pun, ia hanya sementara waktu iaitu ketika harga barang baru dinaikkan.

Tidak dinafikan manusia mempunyai keinginan yang tidak terhad. Justeru, tidak hairan jika ada yang bernafsu besar untuk memiliki sesuatu di luar kemampuan.

Kehidupan mereka seperti ‘lebih besar kerak daripada periuk’. Hasilnya pula, ‘biar papa asal bergaya’.

Sebenarnya, punca utama keinginan tidak terbatas ini kerana jiwa dipengaruhi nafsu yang mendorong kepada sifat mazmumah (terkeji) seperti ammarah, lawwamah atau mulhamah. Dengan ini, kemahuan mereka menjadi tidak terbatas dan sukar dikawal.

Apabila kemahuan tidak terhad, tanpa rasa bersalah mereka boros berbelanja seperti ketika mengadakan majlis perkahwinan atau membeli-belah. Begitu juga ketika memperoleh ‘durian runtuh’ seperti bonus, hadiah serta kenaikan gaji.

Bagi mendidik diri daripada terus bersikap boros, kemahuan yang tidak terhad perlu dikawal dengan menghapuskan nafsu jahat dan menggantikannya dengan sifat terpuji (mahmudah).

Hal ini boleh dilakukan dengan membersihkan hati. Apabila kemahuan mampu dihadkan, kepenggunaan pun dapat dikawal. Akhirnya, hal ini membawa kepada sikap berjimat cermat dan mengguna sekadar keperluan untuk memenuhi kemudahan hidup.


Islam tidak melarang umatnya membelanjakan harta dimiliki asalkan ia berfaedah serta mengikut peraturan ditetapkan syarak. Antara peraturan itu ialah membelanjakan harta mengikut keperluan, bukan kemahuan.

Perkara ini dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.” (Surah al-Furqan, ayat 67)

Sifat bersederhana dalam menguruskan kewangan dan perbelanjaan harian penting. Islam mahukan umatnya pandai dan bijaksana mengatur perbelanjaan iaitu tidak boros, membazir serta tidak juga kedekut dan bakhil.

Kebijaksanaan merancang perbelanjaan mewujudkan keseimbangan antara pendapatan dengan penggunaan. Di samping itu, cara berbelanja lebih terarah dan timbul sikap berjimat cermat.

Berjimat cermat dan sentiasa bersederhana dalam perbelanjaan banyak mendatangkan faedah seperti kehidupan pada masa depan lebih terjamin, terutama ketika menghadapi kesusahan dan kecemasan.

Bersederhana dalam berbelanja membolehkan kita mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT kerana ia sebahagian daripada tuntutan Islam. Pembaziran akan meninggalkan kesan buruk kerana perbuatan itu didorong oleh syaitan.

Allah SWT berfirman bermaksud: “Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian daripada harta benda (pemberian Allah) yang dijadikan-Nya kamu menguasainya sebagai wakil. Maka orang beriman antara kamu serta membelanjakan (sebahagian dari harta itu pada jalan Allah) mereka tetap beroleh pahala yang besar.” (Surah al-Hadid, ayat 7)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Surah al-Isra’, ayat 27)

Mereka yang bersederhana dalam perbelanjaan juga berpeluang menambahkan pahala melalui ibadah zakat dan sedekah pada jalan Allah SWT.

Bersederhana dalam perbelanjaan amat dituntut dalam Islam dan biarlah setiap sen wang yang dibelanjakan bukan setakat memenuhi selera, tetapi matlamat yang ingin dicapai ialah mendapat berkat serta keredaan Allah SWT.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jom Ikut Blog Ini!

Blogged.my My Ping in TotalPing.com