Sabtu, 21 Disember 2013

Tiga Pegawai & Lima Pemain Bola Sepak KL Digantung Seumur Hidup

ct-logo-fam

Kelana Jaya: Tiga pegawai dan lima pemain Kuala Lumpur musim lalu digantung seumur hidup manakala tujuh lagi pemain bakal mengetahui nasib mereka apabila Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersidang sekali lagi Jumaat ini.

Keputusan itu diambil selepas Jawatankuasa Tatatertib FAM mendapati semua tertuduh gagal menjawab surat pertuduhan atau tidak memberikan butir-butir pembelaan dalam tempoh yang ditetapkan.

Ketua jurulatih Kuala Lumpur, Stanislav Lieskovsky; penolong pengurus Rosli Omar; pegawai pasukan Saari Jani dan lima pemain - Jeremy Danker, Khairul Anuar, Hafizi Roslee, Fadhlullah Yunsifar serta Phoo Kai Lun masing-masing digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak seumur hidup dan didenda RM20,000 setiap seorang kerana kesalahan menerima rasuah dan mengatur perlawanan.

Harap jadi pengajaran

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abdul Razak, berkata badan induk bola sepak negara memandang serius gejala rasuah dan mengatur perlawanan ini.

“Jadi hukuman paling berat ini perlu diambil sebagai peringatan kepada pegawai dan pemain lain.

“FAM terpaksa mengambil tindakan ini bagi mengelakkan gejala ini terus menular sekali lagi dalam bola sepak tempatan. Kami tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku berkaitan rasuah dan mengatur perlawanan.

“Saya harap perkara ini akan menjadi pengajaran kepada mereka yang lain supaya tidak membabitkan diri dalam gejala ini,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM, semalam.

Taufek berkata, tujuh lagi pemain akan dibicarakan Jumaat ini memandangkan masing-masing menjawab surat pertuduhan berserta pembelaan.

Sementara itu, tujuh pemain Piala Presiden Negeri Sembilan yang digantung lima tahun bermula November 2011, dilepaskan daripada penggantungan selepas FAM menerima rayuan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) dan mengambil kira faktor usia pemain terbabit yang masih muda.

Mereka ialah Muhammad Zaidi Othman, Hamirul Fahamie Abu Yazid, Anwarul Hafiz Ahmad, Muhammad Haikal Mohamad Nazri, Suhairy Johari, Muhammad Rizqi Azman dan Mohd Hafiz Mohd Nor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jom Ikut Blog Ini!

Blogged.my My Ping in TotalPing.com