Jumaat, 20 Disember 2013

Belum Ada Lagi Arahan Untuk Naikkan Kadar Tol

tol-naik-2014.jpg

KUALA LUMPUR - Kerajaan masih belum mengeluarkan arahan kepada mana-mana syarikat konsesi berhubung kenaikan kadar tol lebuh raya, kata Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof.
 
Beliau menjelaskan bahawa berdasarkan Perjanjian Konsesi sedia ada, terdapat beberapa lebuh raya yang mana kadar tol akan dinaikkan pada 2014.
 
"Namun, kerajaan masih belum mengeluarkan arahan kepada mana-mana syarikat konsesi yang terlibat," katanya dalam kenyataan kepada Bernama malam ini.
 
Sebaliknya, beliau berkata kerajaan masih lagi mempertimbang langkah terbaik untuk mengurangkan kesan kenaikan kadar tol kepada rakyat dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak.
 
Katanya, ini termasuk mengadakan makmal yang dikendali Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) untuk mengkaji implikasi kenaikan kadar tol
pada 2014.

Fadillah menjelaskan sejak 2008, kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah dalam mengurangkan beban kewangan pengguna lebuh raya, antaranya penangguhan kenaikan kadar tol sejak 2008 hingga 2013, untuk 15 lebuh raya.
 
Selain itu, katanya langkah lain adalah penutupan awal plaza tol dan pemansuhan kutipan tol yang melibatkan tujuh plaza tol.
 
Kerajaan turut melaksanakan pengurangan kadar tol melibatkan tiga lebuh raya selain melakukan penstrukturan semula kadar tol melibatkan lebuh raya di bawah kendalian syarikat PLUS dan Kumpulan MTD.
 
Fadillah berkata, dalam mempertimbangkan langkah untuk mengurangkan kesan kepada rakyat, kerajaan juga perlu menghormati Perjanjian Konsesi yang ditandatangani.
 
Ini bagi memastikan Malaysia terus mendapat keyakinan pelabur dan tidak menjejaskan usaha meletakkan ekonomi negara di landasan lebih kukuh dan berdaya saing, katanya.  - Bernama

1 ulasan:

Jom Ikut Blog Ini!

Blogged.my My Ping in TotalPing.com