Rabu, 11 Disember 2013

Najib Cadang Bantuan Khas Kepada Mangsa Banjir

Banjir-PM-Pahang

KUANTAN - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mencadangkan kerajaan negeri menimbangkan bantuan khas kepada mangsa banjir sepertimana pemberian bantuan khas kerajaan pusat RM500 kepada setiap keluarga mangsa banjir seperti diumumkannya sebelum ini.

Beliau berkata banjir buruk yang melanda di beberapa buah negeri termasuk di Pahang sejak seminggu lepas telah menyebabkan ramai mangsa mengalami kerugian besar akibat kemusnahan harta benda.

"Kalau kerajaan negeri boleh timbang bantuan tambahan khas, InsyaAllah kita boleh beri bantuan tambahan itu," katanya ketika berucap semasa melawat pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Sungai Isap Murni di sini.

Banjir buruk di Pahang mencatatkan jumlah pemindahan mangsa banjir melebihi 40,000 orang, malah Isnin dan Selasa lepas turut melumpuhkan bandar Kuantan dan menenggelamkan beberapa perkampungan dan kawasan perumahan di sekitar bandar
itu.

Bagi negeri Pahang, Perdana Menteri berkata beliau akan berbincang dengan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berhubung bentuk bantuan tambahan khas berkenaan.

Najib yang meninjau pusat pemindahan di Pekan sebelum itu dan perkampungan Sungai Isap di sini, turut melahirkan rasa sedih atas musibah yang menimpa penduduk di kawasan terbabit.

Beliau meminta semua mangsa banjir bersabar dan tabah dalam menghadapi ujian  itu.

Perdana Menteri juga berharap mangsa banjir memahami sekiranya terdapat kekurangan di pusat-pusat pemindahan pada peringkat awal banjir kerana banjir kali ini disifatkan sebagai luar biasa yang menyebabkan berlakunya kesulitan logistik pada peringkat awal.

Katanya Jabatan Pengairan dan Saliran juga telah diarahkan menghantar laporan termasuk cadangan bagi melaksanakan projek untuk menangani masalah banjir.

Sekalipun ia bakal membabitkan kos yang tinggi, namun Perdana Menteri berkata, sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan kejadian banjir buruk dapat dielakkan atau sekurang-kurangnya kesan buruk banjir dapat dikurangkan. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jom Ikut Blog Ini!

Blogged.my My Ping in TotalPing.com